Sunday 11 December 2011

Warisan Nenekku..

Salam sejahtera.....
Dalam pada kita mengharungi kehidupan di dunia yang serba moden dan canggih ini, kita tidak dapat menafikan adakalanya warisan dari generasi terdahulu amat berperanan untuk  kesejahteraan hidup.  Salah satu daripadanya ialah ilmu tentang kegunaan herba-herba tradisional. Walaupun dunia perubatan hari ini telah begitu berkembang maju dan banyak kaedah-kaedah perubatan yang mampu untuk menyembuhkan pelbagai jenis penyakit dengan berkesan, namun peranan herba tradisional tidak boleh dipandang remeh. Malahan penggunaan herba tradisional ini sebenarnya lebih selamat kerana ia tiada mengandungi bahan kimia yang memberi kesan jangkamasa panjang. Negara Malaysia sememangnya terkenal dengan banyaknya herba tradisional dan bolehlah disifatkan sebagai gedung ubat yang amat besar. Segenap hutan belukar, bukit bakau, lembah, paya, sawah, padang, kampung dusun, bahkan di kawasan kediaman sendiri terdapat tumbuhan yang berbagai jenisnya. Oleh yang demikian seperti juga peribumi di bahagian – bahagian lain di muka bumi ini, orang Melayu sudah mengetahui akan khasiat tumbuh – tumbuhan yang terdapat di sekitar mereka. Kebiasaannya cara ubatan tradisional ini ialah dengan menggunakan beberapa jenis tumbuh – tumbuhan herba dalam merawat sesuatu jenis penyakit. Dimana tumbuh – tumbuhan herba ini akan dicampurkan bersama – sama mengikut cara – cara yang tertentu. Sama ada dengan cara memasak kesemua tumbuhan tersebut ataupun dengan menggilingnya dan berbagai cara lagi. Diantara contoh – contohnya adalah seperti di bawah :-

          1. Penyakit kepialu -  Ambil biji sesawi, akar kawi, jerangau bonglai, temu putih, daun rembega 
              dan daun kebas bendang. Giling sehingga lumat dan campurkan dengan air. Kemudian 
              lumurkan pada seluruh badan ataupun boeh juga diminum.
     2. Demam panas -  Ambil gelang sambar dara, setawar, pucuk lancung, adas manis,bunga  
         pulasan, putik bebaru, bawang putih, bawang merah, mesui dan pinag muda. Kesemua 
         bahan ini ditumbuk sehingga lumat dan dicampurkan dengan air, kemudian minum.
      
     3. Muntah -  Ambil buah pala dan bawang putih sebiji lalu dimakan dengan sakar.
     4. Sakit Kepala - Ambil daun pegaga, kapur barus dan sendawa. Giling sehingga lumat dan  
         tempelkan di kepala yang sakit itu.
     5. Kayap -  Ambil daun cucuran atap, daun kedondong dan daun lada pahit. Giling dan 
         kemudian sapu.
     6. Panau -  Ambil cendana dan tuba tikus, asah dengan air limau nipis. Bubuhkan pada tempat 
         panau itu.  
    7. Pokok lempoyang -  Khasiatnya adalah untuk membersihkan kulit muka. Ambil ½ ibu jari 
        lempoyang, kikis  kulitnya dan parut. Perah bahan tersebut dan minum airnya dengan 
        ditambah sedikit gula  atau madu.
    8. Jamu Tomato  -  Khasiatnya ialah untuk mencantikkan kulit. Sebiji tomato merah yang 
        besar  dikisar  dan dicampurkan dengan sedikit gula. Minum airnya setiap hari.
            
     9. Jamu Beras Hancur -  Khasiatnya ialah untuk menyegarkan wajah, melancarkar peredaran 
         darah dan mengurangkan kepenatan. Ambil 1kg cekur, 1 genggam beras, 5 potong kayu 
         manis, 10 kuntum bunga cengkih, gula Melaka dan 1 sudu asam jawa. Goreng beras tanpa 
         minyak sehinga nampak kekuningan dan tumbuk halus. Tambah cekur, bunga cengkih, kayu 
         manis dan tumbik lagi. Rebus gula merah dan asam dengan setengah periuk sedang air 
         kemudian sejukkan. Apabila sejuk tambahkan bahan yang ditumbuk tadi. Kacau dan tapis . 
         Minum 1 cawan sehari.
Jelaslah bahawa tumbuh – tumbuhan herba sememangnya penting dalam perubatan
tradisional. Ia telah terbukti dalam menyembuhkan berbagai jenis penyakit. Disamping itu juga ia amat penting dalam penjagaan kesihatan serta kecantikan. Justeru itu adalah menjadi tanggungjawab kita untuk menjaga dan mengekalkan warisan ini dan menurunkannya kepada generasi seterusnya agar mereka semua menyedari serta menghargai sumber alam semulajadi yang mempunyai banyak khasiatnya.



No comments:

Post a Comment