Tuesday 29 November 2011

MAKAN-MAKAN DI MALAYSIA

Salam sejahtera.....





‘Kepelbagaian’ merupakan perkataan utama apabila kita membincangkan tradisi makanan Malaysia. Makanan di Malaysia melambangkan rakyatnya yang berbilang kaum. Makanan-makanan tersebut pada asalnya berasal dari pelbagai negeri dan suku kaum, tetapi kini telah disediakan sebagai hidangan biasa umum di Malaysia. Kita mulakan dengan masakan tradisi dan masakan popular orang Melayu. Nasi merupakan makanan utama bagi orang Melayu tetapi tidak akan sempurna jika tidak diiringi dengan pelbagai lauk pauk dan ulam ulaman. Manisan kegemaran orang Melayu ialah dari jenis bubur dan kuih muih seperti bubur pulut hitam, bubur kacang, pengat pisang dan bubur cacar merupakan manisan yang sangat popular. Kuih seri muka, pulut panggang, bengkang ubi, talam keladi, kuih koci, onde-onde, cucur badak, kuih lapis dan sagu gula Melaka adalah antara kuih kegemaran kaum Melayu. 
Roti canai atau paratha, tose, capati dan puri ialah makanan tradisional kaum India. Ia enak dimakan bersama kuah dal ataupun kari. Satu lagi hidangan tradisi kaum India ialah nasi beriani  dan terdapat dalam pelbagai pilihan lauk seperti ayam, kambing atau telur. Kuih muih orang India yang biasa dijual di restoran mamak ialah wade, maruku dan suji.
Bagi kaum Cina pula bahan utama dalam masakan mereka ialah bahan soya, cendawan, bunga lily, biji bijan dan lain-lain. Bahan ini kemudiannya akan diolah bersama rempah yang juga digunakan oleh orang Melayu seperti biji ketumbar, kayu manis dan sebagainya. Kebanyakan masakan Cina di Malaysia resipinya berasal dari Negeri China, contohnya yong tau foo, char koay teow, dim sum dan lain-lain. Nasi ayam yang diminati oleh semua rakyat Malaysia, dihidangkan bersama ayam goreng, ayam panggang atau ayam kukus. Bagi orang Melayu mereka lebih meminati ayam yang bergoreng atau dipanggang dan kaum Cina memilih yang dikukus.

No comments:

Post a Comment